Hari itu bukan seperti hari-hari biasa. Dalam beberapa jam sahaja lagi aku akan memulakan fasa kehidupan yang baharu. Perjalanan sejauh 13 jam di atas garuda yang akan membelah angin akan aku tempuhi. Menjejaki kaki di Bumi Ratu ini disapa dengan angin sejuk musim luruh.Yang dulunya inilah negara yang menjajah tanah Melayu. Yang melaksanakan dasar pecah dan perintah. Tapi itu semua telah pun menjadi sejarah untuk kita sama ingati, hargai dan jadikan pengajaran.
Bergelar pelajar luar negara bukan tiket membandingkan pembelajaran di tanah mana yang lebih baik. Belayarlah ke negera pendidikan terbaik dunia sekalipun, andai diri sendiri yang tak berusaha menjadi lebih baik, takkan bawa erti apa-apa. Itu yang aku percaya sedari dahulu lagi.
Disiplin orang di sini cukup bagus. Dengan mengekalkan budaya berdiri di sebelah kiri apabila menaiki escalator, aku pernah ditegur apabila tersilap berdiri di sebelah kanan. Aku juga kagum dengan budaya menepati masa masyarakat di sini. Sebagai contoh, segala pengangkutan di sini akan bergerak tepat pada waktunya. Kalau di Malaysia, bas yang sepatutnya bergerak jam 9 pagi belum tentu akan bergerak. Segala budaya inilah yang patut dijadikan contoh yang boleh diterapkan di Malaysia.
Aku selalu berbincang mengenai program atau aktiviti yang menarik yang boleh menjadi ilham untuk dilaksanakan di Malaysia. Contohnya, aku jadi tertarik dengan aktiviti seperti meletakkan buku percuma untuk dibaca di stesen tiub atau keretapi yang dipanggil ‘Book Underground’ . Tapi apa kata rakan yang lain, di Malaysia berapa peratus rakyat yang membaca. Realiti itu harus ku telan.
Ada ketika dalam kesesakan yang melanda masih terasa sunyi. Dalam keriuhan suasana, aku jadi rindu dengan keluarga yang jauh nun di mata, tapi tetap dekat di hati. Selalu doa menjadi keteguhan hati agar terus bertahan membawa harapan keluarga. Hanya doa menjadi penghubung untuk merawat hati yang rawan merindu orang kejauhan. Inilah cabaran seorang perantau yang harus dihadam.
Soalan yang selalu diajukan pada kami di sini. “Hang makan apa kat sana? Ada ka makanan halal?” (Baca dengan loghat utara). Alhamdulillah di Bandar Birmingham, tempat aku belajar daging halal senang untuk kami peroleh. Andai ada yang mengidam atau bermimpi hendak makan masak lemak cili api atau kari ayam, memang kena masuk dapur. Untuk tidak membiarkan ia terus menjadi mimpi, solusinya hanyalah satu. Kami kena masak makanan yang hendak di makan. Ibu kami di kampung tak perlu risau lagi kerana anak dara mereka sememangnya ada bakat memasak bila dah terlempar di bumi orang ni. Dari tak kenal senduk belanga dah boleh jadi jaguh di dapur.Walaupun tak sehebat masakan mama di rumah, terubatlah juga rindu dengan hidangan Malaysia. Pagi-pagi bukanlah nasi lemak menjadi santapan, susu dan cereal menjadi makanan ruji.
Semuanya serba indah. Diri terasa bebas, jauh dari keluarga. Jiwa remaja. Ada sahaja yang hendak dicuba. Dan di sini jualah iman akan diuji. Apa masih ada atau tinggal senipis kulit bawang. Bukan aku tak dengar ada yang berkata, “ Ala, inilah masanya kita nak lihat dunia, kita masuk kelab bukan nak minum pun, sekadar terima ajakan kawan bukan muslim. Kalau ditolak, apa pula kata diaorang.”Tika keseorangan, carilah teman yang mampu membantu kita, menguatkan ibadah rohani. Jangan terlalu yakin kita mampu melaksanakan ibadah sendiri, kerana kita tidak tahu bila iman akan diuji. Di sini, aku seakan rasa sunyi dan sepi. Ujian iman berada di puncaknya. Bohong kalau aku kata tiada masalah untuk beribadah , tapi inilah cabaran yang penuh dengan hikmah. Segala waktu solat yang berbeza mengikut musim, menjadi pengalaman baru. Solat musafir baru kini aku faham peri pentingnya menuntut ilmu fekah.
Ini adalah medan untuk mencuba sesuatu yang baru. Mandiri itu sudah sebati dalam diri. Kehidupan di negara orang telah banyak mengajar aku menjadi lebih berani. Pernah aku mengambil keretapi seawal lima pagi seorang diri dari London untuk ke Birmingham. Agak bahaya bagi seorang perempuan bergerak seorang diri begitu. Siapa yang tidak takut, tapi ku gagahkan juga diri.
Jauh merantau, pasti ingin merasa seperti di tanah air sendiri. Maka ada sahaja persatuan Malaysia di setiap universiti. Malahan ada juga diadakan ‘Malam Malaysia’ di mana segala budaya dan disatukan dalam teater yang menjadi imejan sastera menunujukkan betapa uniknya Malaysia di mata dunia.
Pelbagai persatuan lain yang dipimpin barisan hebat pelajar Malaysia, menjayakan program-program yang membuka ruang dan peluang untuk pelajar Malaysia bersua muka, bertukar cerita apatah lagi bertukar pandangan mengenai isu yang melanda. Diadakan juga sayembara dan pertandingan yang menjadi medan bukan untuk bertikam lidah, tetapi meraikan perbezaan, mewujudkan persefahaman. Betapa pentingnya persatuan-persatuan yang ada. Jika pelajar Malaysia sendiri tidak berganding bahu, turun padang dalam menjayakan dan menyokong aktiviti yang diadakan siapa lagi. Jika tidak merebut segala peluang yang disediakan, bagaimana kita sebagai harapan Negara yang akan meneruskan tampuk kepimpinan masa hadapan.
Di sini untuk ke sana ke mari cukup mudah. Pelbagai jenis pengangkutan awam seperti bas dan keretapi menjadi pilihan utama untuk bergerak. Hanya perlu pandai membuat tempahan awal dan membandingkan harga tiket memandangkan harga tiket tidak tetap. Ia berbeza mengikut masa dan tempat yang ingin dituju. Tidak seperti di Malaysia kita tahu harga untuk ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang dengan bas sekitar RM40 manakala dengan keretapi sekitar RM70. Tetapi kalau di sini, berkemungkinan untuk ke London dari Birmingham menggunakan keretapi harga boleh berbeza hampir 50% jika waktu yang ingin ditempah hanya berbeza setengah jam. Walau bagaimanapun, dengan teknik menilai harga yang betul, nikmat ini aku gunakan sebaik mungkin untuk menziarah teman serta giat berprogram dari satu daerah ke satu daerah yang lain. Tempahan selalunya akan dibuat sebulan lebih awal demi mendapatkan harga tiket yang murah.
Masih segar diingatanku, sewaktu perjalanan ku ke Sheffield. Dalam kepekatan malam, sewaktu menunggu bas aku berteduh di perhentian, mengelakkan diri dari terkena tempias hujan. Aku disapa seorang pemuda ‘mat salih’. Lidahnya ligat bertanya aku dari mana dan hendak ke mana. Orangnya sungguh ramah. Sangkaku perjalanan aku ke Leeds aku akan tidur sepanjang perjalanan, sebaliknya aku berborak dengan pemuda tersebut, bertukar cerita mengenai keunikan Malaysia dan United Kingdom.
Melancong di negara Eropah bukanlah seronok seperti yang disangka, di sebalik foto foto menarik di laman Instagram , berapa puluh kali shot untuk dapatkan gambar yang terbaik. Di balik keseronokan mengembara, makan minum sebenarnya tak dijaga, ikat perut dengan hanya makan mi segera. Pernah juga aku merasa kota yang digembar genburkan cantik , trik kamera yang menunjukkan ia cantik di dalam gambar, bila reality yang sebenar biasa sahaja. Ada yang sudah larik cat warnanya. Jadi jangan mudah tertipu dengan kecantikan kota di dalam gambar, boleh jadi pelbagai muslihat yang ditunukkan lensa. Tapi, itu tidak mencacatkan rasa untuk terus mengembara, buat kita rasa lebih seronok meneroka. Masih aku ingat dari Birmingham ke Scotland aku menaiki bas hampir 9 jam hanya sekadar ingin merasai dan menikmati pemandangan sepanjang perjalanan.
Kembara itu memanglah seronok, tapi akan lebih seronok andai dilihat dengan mata hati. Melihat kebesaran Ilahi.
“Apa tidakkah mereka mengembara di bumi, lalu apa ada pada mereka hati yang dapat berfikir dengan Dia, atau telinga-telinga yang mereka mendengar dengan Dia. Tetapi sesungguhnya ini bukanlah kebutaan penglihatan, melainkan kebutaan hati yang ada dalam dada.” Al Haj ayat 46.
Dalam mengembara, lihatlah bumi dengan menyediakan hati dan pasang telinga. Lihat dengan mata hati, ibrah yang boleh di bawa pulang
Pemikiran aku kini lebih terbuka. Sebagai muslim, keterbukaan yang kita ada, patut meletakkan limitasi. Keterbukaan tidak bermakna tiket untuk kita sesuka hati menjadi ‘keyboard warrior’. Sebaliknya sikap keterbukaan inilah yang menjadikan kita lebih matang, dan lebih menerima pendapat orang lain.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, Klise tapi inilah realitinya. Sejauh mana pun kita terbang, tanah tumpah sendiri jua yang dikenang. Seindah mana pun pengalaman, indah lagi hidup berbumbungkan langit biru Malaysia.
Kita ini harapan, bukan sekadar harapan ibu ayah, tapi kita membawa harapan nusa. Biar pengorbanan atau sumbangan kita sekecil mana pun, ia boleh memberi impak yang lama, siapa tahu. Tanggungjawab kita untuk membawa nilai Malaysia di mata negara. Menjadi Muslim di perantauan, kita bukan sekadar duta Malaysia, tapi kita duta Muslim yang mewakili Muslim di seluruh dunia.
Dan aku bukanlah orang yang paling layak berbicara soal pengalaman di perantauan. Hanya secebis kisah hati di tanah orang. Menumpang sekadar untuk meneguk ilmu.Pengalaman yang dikutip sepanjang keberadaan di bumi ratu ini, aku kira masih banyak yang perlu aku teroka. Aku masih gadis muda yang kurang asam garamnya, darah pun baru setampuk pinang. Apalah sangat jika nak dibandingkan dengan pengalaman mereka yang bertahun lamanya di bumi England ini. Tapi aku percaya, setiap ketentuan Allah pasti ada hikmahnya.
Biar terasa lelah di pundak ku kini, mengusung segala harapan, akan ku ingat hari di mana di balai perlepasan. Langkah ku diiringi doa dan segunung harapan. Akan ku genggam erat segala azam, diteguhkan dengan niat hanya kerana Ilahi.Demi cinta dan cita-cita. Cinta ku pada ilmu. Cita-cita orang tua ku. Kan ku genggam semangat ini agar menjadi darah yang mengalir dalam relung sukmaku.
Ceritera ini tidak akan ku noktahkan di sini kerana perjalanan masih panjang untuk diharungi. Biarlah ceritera ini membawa arus takdirnya sambil ku lukiskan warna kehidupan yang tersendiri.
Doakan insan kerdil ini, moga dengan keberkatanNya, doa diangkat ke langit dan sampai terus kepada Tuhan. Aku akan terus mengembara dan berkelana di bumi Tuhan. Dalam mengutip bukan hanya ilmu formal, malahan ilmu kehidupan yang akan menjadi nilai dalam menongkah arus getirnya hidup ini. Moga pulangnya diri ini berbuah hasil yang mampu memberi manfaat kepada agama dan nusa. Dan aku akan terus meneruskan kembara jiwa ini. Mengembara sehingga terisi jiwa ini dengan matlamat sebenar dalam berkembara.